
Foto: Bernama, Sinar Harian
Kisah menyayat hati menyelubungi tragedi lemas melibatkan dua beradik di Sungai Jeram Hulu, Kuala Terengganu apabila ibu kandung mangsa yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) lembam difahamkan masih belum memahami bahawa anak-anaknya telah meninggal dunia.
Advertisement
Mangsa, Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adiknya Nur Shahila Shahirah Azman, 12, sebelum ini dilaporkan tinggal bersama nenek mereka sejak kecil.
Menurut laporan media tempatan, ibu mangsa, Suria Sulong, 34, membesarkan anak-anak dalam keadaan serba kekurangan selepas berpisah dengan suami.
Nenek mangsa, Esah Salleh berkata, keadaan Suria yang mengalami masalah lembam menyebabkan wanita itu masih tidak memahami sepenuhnya tragedi menimpa keluarganya.

Foto: Bernama
“Mak mereka tak tahu anak-anak dia dah meninggal. Suria OKU lembam dan anak sulungnya turut mengalami keadaan sama, manakala adiknya normal,” katanya.
Tambah warga emas itu, kedua-dua cucunya dijaga olehnya di Kampung Jeram sejak kecil selepas perpisahan ibu bapa mereka.
Esah turut berkongsi detik cemas apabila dimaklumkan orang ramai mengenai kejadian tersebut selepas kedua-dua mangsa keluar rumah untuk ke kediaman rakan.

Foto: Bernama
“Saya sangat terkejut apabila diberitahu cucu lemas di sungai. Kehilangan mereka amat dirasai kerana saya yang menjaga mereka dari kecil dan kami sangat rapat,” ujarnya.
Dalam kejadian berkenaan, mayat kedua-dua mangsa berjaya ditemukan pasukan penyelamat berhampiran lokasi mereka dipercayai hilang.
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menemui mangsa pada kedalaman kira-kira empat meter dan sekitar 20 meter dari lokasi kejadian sebelum jenazah dibawa ke Hospital Sultan Zainal Abidin untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian