
Foto: Bernama
Lebih 22,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Makkah selepas selamat tiba di Tanah Suci menjelang kemuncak ibadah haji yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Advertisement
Lembaga Tabung Haji memaklumkan seramai 22,711 jemaah sudah berada di sana setakat jam 10 pagi tadi, manakala operasi haji minggu keempat berlangsung dalam keadaan terkawal dan teratur.
Menurut TH, sebanyak 74 penerbangan melibatkan jemaah Malaysia telah mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Madinah dan Jeddah. Sebuah lagi penerbangan, KT076, dijangka tiba di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz pada malam ini.
Ketibaan penerbangan KT033 dari Madinah pada Sabtu lalu turut melengkapkan pergerakan kumpulan terakhir jemaah Muassasah ke Hotel Al Tayseer di Makkah.
Dengan semua jemaah kini berkumpul di kota suci itu, perhatian mula tertumpu kepada persediaan akhir menjelang perjalanan ke Arafah untuk ibadah wuquf yang dijangka berlangsung pada 26 Mei depan.
TH dijangka melakukan pemeriksaan serta lawatan ke kawasan perkhemahan di Masya’ir dalam masa terdekat bagi memastikan segala keperluan dan penyelarasan akhir berjalan lancar sebelum pergerakan besar-besaran jemaah dimulakan.
Dalam pada itu, TH turut mengingatkan jemaah supaya memberi perhatian serius terhadap faktor kesihatan berikutan suhu panas di Tanah Suci yang semakin meningkat.
Jemaah disaran memperbanyakkan minum air, menggunakan payung ketika berada di luar bangunan serta mengehadkan aktiviti luar yang tidak penting bagi mengurangkan risiko keletihan dan tekanan haba.
Langkah berjaga-jaga itu penting supaya jemaah dapat mengekalkan tahap kesihatan terbaik ketika menunaikan ibadah utama di Arafah nanti.
Selain aspek kesihatan, TH turut menasihatkan jemaah agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pakej ziarah luar Tanah Haram seperti ke Taif atau Jeddah yang ditawarkan pihak tertentu.
Menurut TH, keluar dari kawasan Tanah Haram ketika masih dalam niat haji mempunyai peraturan tertentu dan boleh menyebabkan seseorang dikenakan dam sekiranya tidak mematuhi syarat manasik.
Sehubungan itu, jemaah diminta mendapatkan pandangan daripada Pembimbing Ibadat Haji atau Pakar Rujuk TH sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan tawaran tersebut.
TH pada masa sama turut menegaskan semula peringatan “Tiada Visa, Tiada Haji” kepada rakyat Malaysia.
Kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa individu yang memasuki negara itu menggunakan visa selain visa haji tidak dibenarkan berada di kawasan Makkah, Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Mereka yang gagal mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Sementara itu, TH turut memaklumkan penyertaan ibadah korban menerusi platform THiJARI masih dibuka sehingga 20 Mei dengan bayaran RM810 bagi seekor qibas.
Sumber: Siakap Keli