Skip to main content

Advertisement

Berita

Didakwa Bunuh Nurfisya di Ketereh, Penuntut Kolej Bakal Berdepan Hukuman Mati

Foto: NSTP

Seorang penuntut kolej lelaki berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar wanita di Ketereh awal bulan lalu.

Advertisement

Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad didakwa menyebabkan kematian Nurfisya Zulkifly yang ditemukan maut dengan puluhan kesan tikaman pada 1 Mei lalu.

Menurut laporan media tempatan, pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid sebelum tertuduh hanya mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, kejadian dipercayai berlaku di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh antara jam 11.40 malam pada 30 April hingga 12.20 tengah malam, 1 Mei lalu.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Mohd Yuusoff Mamat memaklumkan mayat mangsa ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sebelum identitinya dikenal pasti menerusi semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Siasatan polis turut mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, empat individu termasuk ibu bapa suspek yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Sumber: Berita Harian

THR GEGAR Permata Pantai Timur