
Gambar Hiasan
Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja meningkatkan permintaan terhadap pusat data berskala besar, malah kini mula mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran fasiliti tersebut.
Advertisement
Beberapa komuniti di luar negara dilaporkan mengalami pelbagai masalah kesihatan yang dipercayai berpunca daripada ‘infrasound’ ataupun getaran bunyi berfrekuensi rendah yang dihasilkan oleh sistem penyejukan dan turbin gas di pusat data AI.
Apa yang membimbangkan, bunyi ini tidak dapat didengar oleh telinga manusia kerana berada di bawah julat pendengaran biasa. Namun, kesannya didakwa tetap boleh dirasai oleh tubuh manusia.
Antara simptom yang sering dilaporkan termasuk pening kepala, loya, vertigo, sukar tidur, keresahan melampau serta keletihan berpanjangan. Ada penduduk mendakwa keadaan menjadi lebih teruk pada waktu malam apabila operasi pusat data berjalan tanpa henti.
Menurut pakar, infrasound merupakan gelombang bunyi frekuensi rendah yang sukar dikesan dengan hanya menggunakan alat pengukuran bunyi standard. Disebabkan itu, ramai penduduk menghadapi kesukaran untuk membuktikan gangguan yang dialami benar-benar berpunca daripada operasi pusat data berdekatan.
Situasi ini mencetuskan perdebatan mengenai keseimbangan antara kemajuan teknologi dan kesejahteraan awam. Walaupun pusat data menjadi nadi utama kepada perkembangan AI, cloud computing dan internet global, kesan jangka panjang terhadap alam sekitar serta kesihatan manusia masih belum difahami sepenuhnya.

Gambar Ilustrasi Pusat Data AI
Beberapa pihak kerajaan tempatan dilaporkan mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghentikan sementara kelulusan projek pusat data baharu. Moratorium itu bertujuan memberi ruang kepada kajian lanjut dilakukan terhadap kesan bunyi frekuensi rendah, penggunaan tenaga yang tinggi serta impak terhadap komuniti setempat.
Pakar kesihatan dan alam sekitar turut menggesa agar garis panduan baharu diwujudkan bagi memantau pencemaran bunyi yang tidak dapat didengar manusia, termasuk penggunaan teknologi pengesanan lebih sensitif.