
Gambar Hiasan
Kalau anda pernah berjalan di taman rekreasi, anda mesti pernah ternampak laluan batu kecil yang disusun kemas untuk dipijak dengan berkaki ayam tanpa kasut. Ada yang mampu untuk melaluinya dengan tenang, ada juga yang sedang menahan sakit sambil memegang pinggang. Itulah reflexology stone path atau laluan batu refleksologi.
Advertisement
Batuan tersebut Nampak ringkas, tetapi sebenarnya konsep ini sudah lama diamalkan dalam budaya Asia kerana dipercayai memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan.

Gambar Hiasan
Laluan ini biasanya dibina menggunakan batu-batu kecil berbentuk bulat atau tidak sekata. Apabila seseorang berjalan di atasnya tanpa kasut, tekanan akan berlaku pada bahagian tertentu tapak kaki.
Dalam ilmu refleksologi, tapak kaki dipercayai mempunyai ribuan hujung saraf (nerve endings) yang bersambung dengan pelbagai bahagian tubuh badan. Sebab itu apabila titik tertentu ditekan, ia dikatakan boleh membantu merangsang sistem saraf dan memberi kesan relaks kepada badan.
Ada juga yang percaya rasa sakit pada bahagian tertentu kaki mungkin berkait dengan ketegangan otot, tekanan badan atau sensitiviti saraf di kawasan tersebut
Hakikatnya, percubaan kali pertama memang akan menimbulkan rasa tidak selesa. Ada yang terus menyerah kalah selepas beberapa langkah.
Tetapi bagi mereka yang sudah biasa, rasa sakit itu dianggap petanda tubuh sedang menyesuaikan diri.
Antara manfaat yang sering dikaitkan dengan laluan refleksologi ialah:
Merangsang Saraf Pada Tapak Kaki
Tekanan daripada batu kecil membantu mengaktifkan hujung-hujung saraf pada kaki. Ini dipercayai dapat meningkatkan sensitiviti saraf serta memberi rangsangan kepada sistem tubuh secara keseluruhan.
Melancarkan Peredaran Darah
Pergerakan dan tekanan pada kaki dipercayai membantu aliran darah menjadi lebih lancar, terutama bagi individu yang kurang aktif.
Mengurangkan Tekanan Dan Keletihan
Berjalan perlahan di atas batu sambil menghirup udara pagi boleh membantu tubuh menjadi lebih relaks dan mengurangkan stres.
Menguatkan Otot Kaki Dan Keseimbangan Badan
Permukaan yang tidak rata memaksa kaki dan saraf motor bekerja lebih aktif untuk mengekalkan kestabilan badan.
Aktiviti Ringan Untuk Warga Emas
Sebab itu banyak taman awam menyediakan laluan ini sebagai aktiviti santai untuk golongan berusia bagi membantu pergerakan dan koordinasi badan.
Persoalannya, benarkah ia berupaya untuk menyembuhkan penyakit?
Di sinilah ramai salah faham.
Walaupun refleksologi popular dan ramai mendakwa mendapat manfaat, bukti saintifik mengenai kemampuannya untuk merawat penyakit serius masih terhad.
Ia lebih sesuai dianggap sebagai aktiviti kesihatan tambahan, bukan pengganti rawatan doktor.
Malah, individu yang mempunyai masalah saraf seperti neuropati diabetes perlu lebih berhati-hati kerana tapak kaki mereka mungkin kurang sensitif terhadap tekanan atau kecederaan.
Tahap sensitiviti saraf setiap orang berbeza. Faktor seperti berat badan, ketebalan kulit kaki, umur dan keadaan kesihatan boleh mempengaruhi rasa sakit ketika berjalan di atas batu refleksologi.

Gambar Hiasan
Tip untuk yang ingin mencuba melaluinya;
Mulakan perlahan-lahan
Jangan terlalu lama
Pegang railing jika ada
Pakai kasut refleksologi nipis jika perlu
Konsisten beberapa minit sehari
Lama-kelamaan kaki akan mula menyesuaikan diri.
Walaupun nampak old school, laluan batu refleksologi masih relevan hingga hari ini. Ia murah, mudah dan boleh dilakukan oleh hampir semua golongan.
Kadang-kadang, terapi paling ringkas bukanlah datang daripada alat mahal atau teknologi moden, tetapi hanya dengan berjalan perlahan di atas batu kecil sambil menikmati ketenangan pagi sambil merangsang saraf-saraf kecil di tapak kaki.