Skip to main content

Advertisement

Berita

BPG Santuni Jururawat HTPN Sempena Hari Jururawat, Hargai Pengorbanan Barisan Hadapan

Gambar: corporate.astro

 Sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia, Bro Pagi GEGAR (BPG) yang diwakili penyampai popular Issey dan Fizie telah mengadakan lawatan khas ke Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN), Kajang sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para jururawat dalam sektor kesihatan negara.

Advertisement

Program tersebut bukan sahaja bertujuan menyantuni petugas kesihatan, malah memberi peluang kepada wakil media untuk memahami dengan lebih dekat realiti tugas jururawat yang menjadi tulang belakang sistem penjagaan pesakit di hospital.

Sepanjang lawatan berlangsung, Issey dan Fizie berpeluang berinteraksi bersama hampir 30 orang matron yang berkongsi pengalaman, cabaran serta tanggungjawab besar yang dipikul dalam profesion kejururawatan. Mereka turut diberikan pendedahan asas mengenai bidang kejururawatan serta peranan penting jururawat dalam memastikan rawatan dan kebajikan pesakit sentiasa terpelihara.

Lawatan itu turut melibatkan kunjungan ke lima wad berbeza di HTPN, sekali gus membuka ruang kepada wakil BPG melihat sendiri situasi kerja harian jururawat dalam pelbagai keadaan klinikal. Kehadiran dua penyampai radio berkenaan nyata menceriakan suasana apabila mereka menyantuni petugas yang sedang bertugas sambil berkongsi kata-kata penghargaan dan semangat.

Gambar: corporate.astro

Sebagai simbolik penghormatan dan terima kasih, BPG turut mengagihkan kek kepada jururawat yang bertugas sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta pengorbanan mereka dalam menjaga kesihatan masyarakat.

Pengurus Rangkaian Radio Melayu Astro Audio, Azah Sahrin berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BPG dalam mendekati komuniti serta mengiktiraf wira-wira tidak didendang dalam bidang kesihatan.

Menurut beliau, profesion jururawat memerlukan bukan sahaja ilmu dan kemahiran tinggi, malah kesabaran, empati serta dedikasi luar biasa dalam memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik.

“Kami amat menghargai dan menyanjung tinggi pengorbanan jururawat yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan kesejahteraan dan keselesaan pesakit.

“Melalui program ini, kami ingin mendekatkan diri dengan komuniti kesihatan di samping memahami dengan lebih mendalam peranan sebenar jururawat dalam ekosistem rawatan pesakit,” katanya.

Beliau turut berharap kehadiran Issey dan Fizie mampu memberi sedikit keceriaan kepada para jururawat sebagai tanda penghargaan daripada pihak BPG dan THR GEGAR.

Dalam masa sama, BPG menegaskan komitmen mereka untuk terus melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak positif kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan antara media dan komuniti setempat.

THR GEGAR merupakan salah satu daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio dan kekal sebagai stesen radio berbahasa Melayu pilihan utama pendengar Pantai Timur menerusi sajian lagu-lagu popular serta kandungan yang dekat di hati masyarakat Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Dengan lebih 1.2 juta pengikut di media sosial, THR GEGAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama hiburan dan muzik terkenal Pantai Timur. Selain siaran radio, orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan stesen itu menerusi platform media sosial rasmi serta aplikasi THR GEGAR yang boleh dimuat turun di App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

THR GEGAR Permata Pantai Timur