
Foto: Instagram
Keindahan langit yang sering dipandang dari bumi sebenarnya menyimpan pelbagai fenomena luar biasa yang jarang dapat disaksikan secara langsung.
Advertisement
Terbaharu, NASA mendedahkan beberapa rakaman menakjubkan yang memaparkan dua fenomena unik ketika misi mengelilingi Bulan.
Menurut laporan BBC, imej tersebut dirakam oleh angkasawan dalam misi Artemis II yang berjaya mengorbit Bulan.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah fenomena ‘Earthset’, di mana Bumi kelihatan seperti sedang tenggelam di ufuk permukaan Bulan, satu pemandangan yang sangat jarang disaksikan manusia.
Selain itu, satu lagi imej menunjukkan kejadian gerhana matahari yang berlaku apabila Bulan menghalang cahaya Matahari daripada sampai ke lensa kamera, menghasilkan visual dramatik dari angkasa.
Dalam perkembangan sama, angkasawan misi berkenaan turut merakam beberapa gambar planet Bumi dari angkasa lepas yang memperlihatkan keseluruhan permukaannya dilitupi awan putih, selain imej lengkungan Bumi yang jelas kelihatan dari tingkap kapsul.
Menariknya, sebahagian rakaman tersebut diambil menggunakan telefon pintar moden iaitu iPhone 17 Pro Max, sekali gus menunjukkan keupayaan teknologi mudah alih dalam merakam imej berkualiti tinggi walaupun di angkasa.
Misi Artemis II juga mencipta sejarah tersendiri apabila kapal angkasa Orion mencatat jarak penerokaan paling jauh pernah dicapai manusia.
Rekod itu mengatasi pencapaian misi Apollo 13 yang sebelum ini memegang rekod sejak tahun 1970.
Sumber: Instagram @bbcnews