
Foto: Facebook
Terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa yang baru beroperasi sepenuhnya kini menjadi perhatian selepas didakwa dijadikan lokasi aktiviti tidak sihat oleh sekumpulan penunggang motosikal.
Advertisement
Kawasan yang sepatutnya menjadi ruang utama pergerakan penumpang dan mencerminkan kemudahan moden negeri itu dilaporkan bertukar suasana apabila beberapa rakaman tular memaparkan aksi berbahaya serta perlumbaan motosikal di sekitar balai pelepasan.
Kejadian tersebut sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna dan mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan awam.
Isu ini turut mendapat reaksi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang meluahkan rasa kesal terhadap insiden berkenaan.
Beliau menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi memandangkan kerajaan telah melaburkan hampir RM450 juta untuk menaik taraf fasiliti berkenaan.
“Pelaburan ini bertujuan menjadi pemangkin pembangunan sosio-ekonomi rakyat Kelantan dan menarik lebih ramai pelancong.
“Kelakuan ‘mat rempit’ ini bukan sahaja membahayakan nyawa, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Susulan kejadian itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di kawasan berkenaan bagi membendung aktiviti lumba haram.
Mana-mana individu yang terlibat berdepan tindakan tegas termasuk penyitaan motosikal secara serta-merta.
Pada masa sama, pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) turut diminta memperketat kawalan serta pemantauan di laluan masuk dan keluar terminal bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang dan operasi di lapangan terbang kekal teratur.
Sumber: Facebook Anthony Loke Siew Fook