Skip to main content

Advertisement

Hiburan

‘Sayang Sayang’ Angkat Kepelbagaian Budaya Malaysia, Kisah Identiti dan Kasih Sayang Menyentuh Hati

Lima pencalonan Anugerah Golden Horse Ke-63 mengukuhkan kedudukan filem kerjasama Malaysia-Taiwan ini yang mengetengahkan kisah keluarga, penerimaan dan pencarian jati diri menerusi kepelbagaian budaya serta bahasa.

Kepelbagaian budaya, bahasa dan kepercayaan merupakan antara keunikan yang membentuk identiti masyarakat Malaysia. Namun, di sebalik perbezaan tersebut, terdapat satu persamaan yang menyatukan setiap insan, iaitu kasih sayang, kekeluargaan dan keinginan untuk diterima.

Advertisement

Mengangkat keindahan nilai tersebut ke layar perak, filem kerjasama Malaysia-Taiwan, SAYANG SAYANG, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026.

Lebih membanggakan, filem arahan pengarah dan penulis skrip dari Taiwan, Tang Hsiang-Chu itu terlebih dahulu mencuri perhatian industri perfileman antarabangsa apabila menerima lima pencalonan di Anugerah Golden Horse Ke-63.

Diterbitkan oleh More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co., Ltd, SAYANG SAYANG merupakan sebuah drama fiksyen yang meneroka persoalan identiti, keluarga, kasih sayang dan penerimaan komuniti melalui sudut penceritaan yang jarang diketengahkan dalam industri perfileman tempatan.

Keistimewaan filem ini terletak pada keberaniannya menggabungkan watak daripada latar belakang Melayu, Cina dan India, sekali gus memberikan gambaran tentang kepelbagaian masyarakat Malaysia dalam sebuah penceritaan yang dekat dengan kehidupan sebenar.

Malah, sejak treler rasminya diperkenalkan, filem ini sudah mula menyentuh emosi penonton menerusi paparan hubungan sesama manusia dan konflik kehidupan yang diketengahkan. Sambutan positif turut diterima ketika tayangan perdana di Taipei apabila penonton memuji keindahan penceritaan serta mesej universal yang dibawakan.

Dari sudut visual pula, SAYANG SAYANG menjanjikan pengalaman sinematik yang mempesonakan dengan menjadikan persisiran Pantai Timur sebagai latar utama. Keindahan laut dan alam semula jadi dimanfaatkan sebagai elemen visual yang melengkapi perjalanan emosi setiap watak.

Dengan kerjasama kru kreatif dari Malaysia, Taiwan dan India, setiap aspek pembikinan termasuk sinematografi, tona warna serta rekaan bunyi diberikan perhatian bagi menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja indah secara visual, malah sarat dengan makna.

Filem ini diterajui barisan pelakon pelbagai latar belakang termasuk Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Jo Kukathas, Khir Rahman, Farah Ahmad, Lee Lee-Zen, Ong Ai Leng, Vemanna Appannah, Mia Tan Shu Man dan Tan Li Yang.

Menambahkan lagi keistimewaan filem ini, lagu temanya berjudul Sayang turut dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara, Dato' Sri Sheila Majid.

Satu lagi keunikan SAYANG SAYANG ialah penggunaan tiga bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Tamil, selain bahasa isyarat yang memberikan ruang kepada representasi komuniti kurang pendengaran dan pekak dalam industri perfileman.

Kisah tiga anak, tiga latar belakang dan satu perjalanan mencari identiti

SAYANG SAYANG membawa penonton mengikuti kehidupan Nancy, seorang wanita berbangsa India yang pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur bersama Ajay, anaknya yang kurang pendengaran.

Kepulangan Nancy bukan sekadar untuk memulakan kehidupan baharu, sebaliknya dia turut mengambil inisiatif membuka sebuah sekolah bahasa isyarat bagi membantu komuniti yang memerlukan.

Dalam masa sama, penonton diperkenalkan kepada Mina, seorang gadis Melayu pekak yang meminati sukan Muay Thai dan berusaha mencari identiti dirinya di sebalik tuntutan tradisi serta harapan masyarakat.

Turut mewarnai penceritaan ialah San San, seorang gadis Cina pekak yang menyimpan impian untuk mendekati laut, namun berdepan ikatan kepercayaan dan pegangan keluarganya.

Menerusi perjalanan tiga anak daripada latar budaya dan keluarga berbeza ini, filem berkenaan menyelami cabaran mereka dalam memahami diri sendiri, mempertahankan kepercayaan serta mencari ruang untuk diterima.

Lebih daripada sekadar sebuah filem tentang perbezaan budaya, SAYANG SAYANG membawa mesej bahawa setiap individu berhak memiliki impian, suara dan identiti tersendiri tanpa mengira latar belakang atau kekurangan yang dimiliki.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan kisah penuh emosi ini apabila SAYANG SAYANG mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 5 November 2026.

Untuk mendapatkan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial Astro Shaw menerusi tanda pagar #SayangSayang dan #沙央.

ERA Muzik Hit Terkini